Luruskan Niat.
Dimulakan dengan lafaz yang mulia, Bismillahirrahmanirrahim, Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.. Semoga saya dan kalian sentiasa berada di bawah lembayung Rahmat dan Redhanya.
Pertama-tamanya bersyukur kepada Allah kerana memberi kesempatan kepada saya, sahabat-sahabat dan kalian semua peluang bernafas lagi untuk hari ini. Peluang untuk menikmati pelbagai nikmat yang disediakan olehNya. Nikmat IMAN, nikmat ISLAM, nikmat KASIH SAYANG dan segala nikmat hidup di dunia. Semoga setiap nikmat yang Allah kurniakan ini digunakan pada jalan yang benar demi mencapai RedhaNya. Insya Allah.
NIAT.
Ada tiga perkara yang ingin saya berkongsi bersama sahabat semua iaitu tentang NIAT, HATI dan LISAN.
Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab Radiallahuanhu, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya karena (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya karena dunia yang dikehendakinya atau karena wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan.
(Riwayatkan dua imam hadits, Abu Abdullah Muhammad bin Isma’il bin Ibrahim bin Al Mughirah bin Bardizbah Al Bukhori dan Abu Al Husain, Muslim bin Al Hajjaj bin Muslim Al Qusyairi An Naishaburi.)
Hadis pertama yang disusun didalam Hadis 40 karangan imam Nawawi. Setiap perbuatan dimulakan dengan niat. Kenapa hadis tentang niat ini begitu penting? Hadis ini merupakan salah satu dari hadis-hadis yang menjadi inti ajaran Islam. Menurut Imam Ahmad dan Imam syafi'i berkata : Dalam hadis tentang niat ini mencakupi sepertiga ilmu. Sebabnya adalah bahawa perbuatan hamba terdiri dari perbuatan hati, lisan dan anggota badan, sedangkan niat merupakan salah satu dari ketiganya. Diriwayatkan dari Imam Syafi'i bahawa dia berkata : Hadis ini mencakupi tujuh puluh bab dalam fiqh. Sejumlah ulama bahkan ada yang berkata : Hadits ini merupakan sepertiga Islam. Begitu berpengaruhnya niat dalam kehidupan kita.
Justeru itu, kita perlulah memastikan niat yang ingin dilakukan dan diakui oleh hati itu benar dan lurus agar segala tingkah laku, amalan kita, perbuatan kita dan sikap kita untuk melaksanakan apa yang diniatkan itu dipermudahkan Allah dan di redhainya. Jadi perbetulkanlah dan luruskanlah niat kita.
HATI.
Begitu juga hal keadaan hati. Hati perlu diperiksa dan dirawat selalu agar ianya tidak mengalami penderitaan atau penyakit yang parah dan serius, malah yang paling teruk adalah penyakit jangkit menjangkiti yang berlaku kepada hati.
Sabda Rasulullah SAW: “Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak daging itu, maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
LISAN.
Perihal tentang lisan dan hati turut dinukilkan oleh Luqman al-Hakim iaitu hamba Allah yang Soleh yang mana namanya dijadikan nama salah satu surah didalam al-quran iaitu surah Luqman. Perihal hamba Allah yang dikurniakan Allah hikmah kepadanya.
Menurut Ibn Abi Nujaih, tuan kepada Luqman telah memerintahkannya agar menyembelih seekor kambing dan membawa kepadanya bahagian yang terbaik dan bahagian yang terburuk. Lantas beliau membawa lidah dan hati kambing. Lalu tuannya bertanya: “ Apakah ini?” Luqman menjawab: “Tiada yang lebih baik daripada kedua-duanya ini pada haiwan apabila kedua-duanya baik, tiada yang lebih buruk daripada kedua-duanya ini pada haiwan apabila kedua-dua ini buruk.” Ini bertepatan dengan ungkapan yang disebutkan:
Maksudnya: “Seseorang itu dinilai dengan dua benda kecil padanya; hati dan lidahnya.”
Nabi SAW pula bersabda:
Maksudnya: “Seseorang hamba tidak selamat sehinggalah hati dan lisannya sejahtera.”
Subhanallah.. Justeru itu sahabat sekalian peliharalah niat, hati dan lisan kita sebaik-baiknya.
PELUANG.
Alhamdulillah saya telah diberi peluang dan kesempatan oleh sahabat untuk cuba berjinak-jinak dalam dunia penulisan siber. Semoga peluang yang ditawarkan ini dapat saya manfaatkan sepenuhnya dengan niat, hati dan lisan yang lurus keranaNya. Insya Allah. Terima kasih.
17 Februari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

0 comments:
Catat Ulasan