**KERANA AKU SAYANG KAMU**
“Aku sayang kamu kerana kamu adalah saudara seagamaku, kita berpegang pada akidah yang sama, kita percaya kepada tuhan yang satu iaitu Allah, kita mengasihi Rasul yang mulia, nabiyuna Muhammad SAW. Tetapi kamu telah membuatkan perasaan sayangku ini menjadi semakin pudar dan susut. Bahkan aku sekarang menjadi semakin sedih sekali.” - monolog Qurratun Ain -
Perasaan sedih ini menusuk di hati ketika mana saya terserempak dengan junior saya yang tidak memakai tudung, dengan rambut yang diwarnakan dan direbondingkan, malah penampilannya begitu berbangga dan tanpa merasa malu sedikit pun. Begitu juga hal keadaan senior yang pernah saya kenali suatu ketika dulu, senior ini yang pernah belajar agama, tahu apa itu aurat wanita, arif tentang kehendak ad-din tetapi kenapa begitu mudah kakak melupakannya? Kenapa begitu rapuh sekali pegangan kalian? Subhanallah!
Perasaan bertambah ngilu apabila saya terbuka laman web sosial yang mana kebiasaannya web ini akan dimuat turunkan gambar-gambar yang pelbagai aksi, pelbagai bentuk mimik muka dan pelbagai gaya. Ya, ini suasana normal dan ianya tidak menjadi kesalahan langsung. Tetapi yang menjadi kesalahannya ialah gambar yang diuploadkan itu adalah gambar yang mendedahkan aurat, yang membuka aib kalian. Apabila saya cuba selidiki latar belakang sebahagian daripada kalian, sungguh saya tidak percaya kalian adalah keluaran sekolah agama, kolej agama, dan pernah belajar di timur tengah, Ya Allah! Terkedu saya.
Perasaan berbelah bahagi apabila, sahabat-sahabat yang saya sayangi sendiri tidak mengamalkan apa yang telah diajar agama. Mereka tahu tetapi buat-buat tidak tahu, mereka mengaku mendedahkan aurat itu salah tetapi mereka tidak cuba untuk memperbetulkan yang mana yang salah. Masya Allah!
Ketahuilah kalian bahawasanya Allah telah berfirman yang bermaksud:
Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang.
(Ahzab 33:59)
Adakah kalian ingat ketika peristiwa israk dan mikraj Rasullullah SAW? Baginda telah diperlihatkan oleh Allah sebanyak 10 seksaan yang menimpa kaum wanita. Salah satunya ialah perempuan yang digantung dengan rambut dan otaknya di kepalanya mendidih, mereka adalah perempuan yang tidak mahu melindungi rambutnya daripada dilihat lelaki lain. Nauzubillah.. Jauhilah.
Sesungguhnya masih belum terlambat buat kalian untuk kembali membetulkan yang mana salah. Meluruskan kembali yang mana yang bengkok. Pintu taubat itu masih terbuka buat kita semua. Jagalah diri, peliharalah maruah, peganglah amanah yang Allah bagi dengan sebaiknya. Semoga kita sentiasa di RedhaiNya.
*khusus untuk kaum hawa

0 comments:
Catat Ulasan